LATIHAN
Latihan bagi PALAPES dilaksanakan selama tiga tahun. Tahun pertama adalah Peringkat 1 (Junior), tahun kedua adalah Peringkat 2 (Intermediate) dan tahun ketiga adalah Peringkat 3 (Senior). Pada dasarnya jenis latihan yang dijalankan di PALAPES adalah mirip kepada latihan Kadet Angkatan Tetap sebagaimana yang dilaksanakan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Akademi Tentera Darat (ATD) – Cawangan Kadet Graduan.
​
Konsep umum pelaksanaan latihan Pegawai Kadet PALAPES adalah penyesuaian jadual latihan dengan kokurikulum universiti. Bagi membolehkan setiap pegawai kadet melaksanakan latihan secara progresif, PALAPES ditetapkan untuk melaksanakan latihan yang dibenarkan berdasarkan Manual Panduan Askar Wataniah MM 15.1.1A TD 2006. Jenis-jenis latihan yang dijalankan oleh PALAPES adalah seperti berikut:
​
1. Latihan Tempatan (LT). Semua mata pelajaran yang diajar adalah berdasarkan peringkat masing-masing. Hari latihan yang dirancang adalah mengikut kelapangan pegawai kadet atau hari kokurikulum universiti bagi mencapai kehadiran yang maksimum. Latihan yang dijalankan hendaklah tidak kurang dari 10 jam bagi mendapatkan catuan sajian percuma kepada semua pegawai kadet.
​
2. Latihan Berterusan (LB). Markas PALAPES diberi tanggungjawab untuk merancang Latihan Berterusan bagi keperluan mengulangkaji pelajaran-pelajaran yang memerlukan penekanan lanjut. Setiap latihan yang dijalankan hendaklah tidak kurang dari 72 jam. Antara silibus latihan yang boleh dilaksanakan di dalam LB adalah seperti berikut:
a. Membaca Peta.
b. Latihan Menembak.
c. Latihan Kawad.
d. Latihan Ketenteraman Awam.
e. Latihan Semboyan.
​
3. Latihan Kem Tahunan (LKT). LKT merupakan kemuncak bagi segala latihan yang dijalankan setiap tahun. Di dalam latihan ini, semua pegawai kadet akan diuji dan dinilai dalam aspek teori dan praktikal di atas apa juga pelajaran yang telah dipelajari. Penilaian seragam akan dilaksanakan terhadap semua pegawai kadet di semua PALAPES UA. Semua pegawai kadet dikehendaki mengikut latihan berdasarkan latihan peringkat masing-masing. Rancangan penilaian dan aktiviti LKT yang seragam bagi semua PALAPES UA adalah seperti yang ditetapkan oleh Tim Penilai LKT yang dikoordinasikan oleh Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD).